Latar belakang Kelas Laksamana

Kapal-kapal ini asalnya dipesan Tentera Laut Iraq pada tahun 1981 dan dikenali sebagai kelas Assad. Walau bagaimanapun, setelah kapal-kapal ini siap, Pertubuhan Bangsa Bersatu telah mengenakan sekatan ke atas Iraq yang menghalang kapal-kapal ini diserahkan disebabkan Perang Iran-Iraq yang telah tercetus. Kerajaan Malaysia mula menyatakan hasrat untuk mengambil alih kapal-kapal ini pada Oktober 1995 dan akhirnya telah membeli melalui pemeteraian dua kontrak pada Julai 1996 dan Februari 1997. Kapal-kapal ini seterusnya ditauliahkan kepada perkhidmatan TLDM pada Julai 1997 dan Julai 1999 setelah radar navigasi Kelvin Hughes yang baru ditambah. Kapal-kapal kelas Laksamana dinamakan sempena laksamana-laksamana tersohor kerajaan-kerajaan Melayu. Tentera Laut Ecuador mengoperasikan 6 buah kapal yang mempunyai reka bentuk serupa dikenali sebagai kelas Esmeraldas.